
Bekas pengarah SRC International, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 54, berkata tiada usaha wajar dilakukan kerana resolusi pekeliling (DCR) pengarah ditandatangani dan diluluskan Najib Razak yang juga perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.
Shahrol berkata demikian ketika memberi keterangan selaku pihak ketiga dalam saman sivil USD1.18 bilion SRC International terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.
“Saya merasakan saya perlu melakukannya kerana ia arahan PM. Saya lebih suka jika mempunyai lebih maklumat, tetapi saya teruskan juga dan menandatanganinya. Ia bukan sekadar arahan, ia telah ditandatangani PM dan bekas menteri kewangan serta pemegang saham 1MDB yang menjadikannya sangat kukuh.
“Kami cuba mendapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh, tetapi apabila tiba masa untuk pelaksanaan, PM telah menandatanganinya…jadi kami terpaksa lakukannya. Jika PM fikir ia idea baik, saya percaya dengan pertimbangannya,” kata saksi itu ketika disoal peguam Najib, Harvinderjit Singh.
Wang pinjaman itu dipindahkan kepada Falcon Private Bank Ltd di Switzerland dan Julius Baer di Hong Kong untuk memperoleh dua syarikat di Indonesia (PT ABM Investama dan Bumi Resources TBk PT) serta dua syarikat di Mongolia (Gobi Coal and Energy Limited dan Erdens-Tavan Tolgoi).
Dalam perbicaraan jenayah SRC pada 2019, bekas pengerusi SRC, Ismee Ismail memberi keterangan Nik Faisal diarahkan Najib untuk memindahkan wang itu dalam mesyuarat 7 Sept 2011.
SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, secara peribadi mendapat manfaat daripada dana syarikat dan menyalahgunakan dana berkenaan.
Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, serta supaya Najib membayar balik kerugian RM42 juta yang mereka alami.
Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 dan Lembaga Pengampunan pada Januari lalu mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda dikurangkan kepada RM50 juta daripada RM210 juta.
Perbicaraan di depan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 9.30 pagi 6 Mei ini.