Tindakan menanti kontraktor gagal hantar Black Hawk

Tindakan menanti kontraktor gagal hantar Black Hawk

Tentera Darat Malaysia sepatutnya menerima pesawat pertama pada November 2023.

Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan berharap sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat dapat dihantar bulan ini. (Gambar Facebook)
Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan berharap sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat dapat dihantar bulan ini. (Gambar Facebook)
SIK:
Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan susulan sekiranya kontraktor dilantik gagal membuat penghantaran pertama helikopter Black Hawk selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, sehingga kini, TDM belum menerima sebarang perkhabaran berkaitan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu, walaupun sebelum ini kontraktor berjanji membuat penghantaran pertama bulan ini.

“Kita amat-amat berharap mereka dapat mengotakan janji kerana seperti saya telah sebutkan sebelum ini, tempoh penghantaran pun sudah terlewat, sepatutnya kita menerima pesawat pertama pada November tahun lepas,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anggota dan pegawai operasi di Kem Gubir di sini.

“Sekarang dah lebih lima bulan masih tiada apa berita. Jadi, kita masih beri peluang hingga hujung April, sekiranya masih tiada apa-apa perkhabaran, kita akan ambil tindakan susulan melalui Kementerian Pertahanan selaku pengurus kontrak.”

Hafizuddeain amat berharap kontraktor berkenaan dapat membuat penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat pada bulan ini.

“Kita amat memerlukan keupayaan ‘medium lift’ ini untuk melaksanakan operasi seperti di sini (Kem Gubir) dan di kawasan pedalaman.

“Jadi, nanti perancangan kita untuk meletakkan beberapa (pesawat) di sini (Semenanjung) dan beberapa di Sabah dan Sarawak untuk kita beri bantuan juga untuk operasi di sebelah sana.”

Menurutnya, pesawat berkenaan juga akan digunakan pasukan 10 Briged Para bagi latihan penerjunan.

“Setakat ini, TDM banyak bergantung pada Tentera Udara Diraja Malaysia bagi urusan pengangkutan operasi dan logistik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.