Suspek kes tembak rancang lari ke Makkah, kata polis

Suspek kes tembak rancang lari ke Makkah, kata polis

Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata suspek dipercayai ingin melarikan diri melalui Thailand, berdasarkan rampasan mata wang wang Riyal dan Baht.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis merampas sepucuk pistol bersama 33 butir peluru, mercun bola, enam biji telefon bimbit serta pasport daripada suspek. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat dalam kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pagi kelmarin, cuba melarikan diri ke Makkah melalui Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ia berdasarkan rampasan dibuat membabitkan sejumlah wang tunai dalam mata wang Riyal dan Baht daripada suspek yang ditahan semalam.

Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol bersama 33 butir peluru, mercun bola, enam biji telefon bimbit serta pasport.

“Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai tiba di Kelantan pada petang kelmarin selepas waktu Zohor.

“Dia kemudiannya menginap di sebuah hotel dengan mendaftar menggunakan identiti individu lain menyebabkan kehadirannya gagal dikesan,” katanya pada sidang media di Kota Bharu menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, Shuhaily berkata suspek juga sempat ke hospital swasta untuk mengambil laporan perubatan sebelum ditahan.

Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan mengenai tujuan suspek mengambil laporan itu sama ada untuk memohon visa atau sebaliknya.

“Suspek sudah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital swasta berkenaan sebelum kejadian tembakan dan hadir semalam untuk mengambil laporan,” katanya.

Menurutnya, suspek dikesan bergerak secara individu selepas kejadian tanpa dibantu mana-mana pihak dan telah biasa selok belok di Kelantan kerana pernah belajar di sebuah tahfiz di Pasir Mas.

Beliau turut mengesahkan motif utama suspek terbabit yang melepaskan tembakan ke arah isterinya masih sama iaitu berkaitan hal dengan isterinya.

Terdahulu, suspek berusia 38 tahun yang dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 8.30 pagi tadi direman seminggu bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Suspek yang diiringi beberapa anggota polis sempat memberitahu media bahawa dia memerlukan seramai tujuh peguam untuk mewakilinya dalam kes terbabit.

“Saya memerlukan tujuh orang peguam untuk mewakili saya,” katanya yang ditahan kira-kira 3 petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Isnin lalu, seorang pengawal peribadi parah selepas terkena satu daripada dua das tembakan dilepaskan suspek.

Siasatan lanjut polis mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.