Johor cadang laksana ART atasi kesesakan

Johor cadang laksana ART atasi kesesakan

Onn Hafiz Ghazi berkata cadangan itu diserahkan kepada Putrajaya untuk diperhalusi selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail.

Bandaraya Johor Bahru dijangka sesak apabila Sistem Transit Rapid beroperasi akhir 2026 dengan anggaran 10,000 pengguna setiap jam. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kerajaan Johor bercadang melaksanakan Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat bagi mengatasi kesesakan semakin kritikal di Johor Bahru, kata Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi.

Katanya, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Putrajaya untuk diperhalusi selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail.

Beliau berkata, dianggarkan setiap jam lebih 10,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS), yang dijangka beroperasi pada akhir 2026, dan berpotensi menyebabkan kesesakan bertambah buruk.

“Kerajaan Johor risau jika tiada langkah proaktif dalam pelan penyuraian trafik, kesesakan di pusat bandar raya ini akan menjadi lebih kritikal apabila RTS beroperasi nanti,” katanya menurut Harian Metro selepas pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama antara Malaysia-Singapura Melalui Tambak Johor di Iskandar Puteri.

“Johor perlu ada pelbagai pilihan mod pengangkutan awam bagi memastikan kesesakan dapat diatasi. Atas sebab itulah, kita mencadangkan pelaksanaan ART bertingkat menghubungkan beberapa kawasan strategik dengan pusat bandar raya ke RTS.”

Dalam perkembangan lain, Onn Hafiz berkata, Putrajaya bersetuju meletakkan Johor sebagai anggota Jawatankuasa Kabinet bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.

“Johor sudah jadi anggota jawatankuasa kesesakan itu bertujuan mengatasi dan meredakan kesesakan di Johor, termasuk di pintu sempadan yang mengalami isu berkenaan.

“Kerajaan Johor serius untuk menangani kesesakan kritikal di pusat bandar raya, termasuk di Jalan Skudai dan Persimpangan Bertingkat Perling dan Pasir Gudang, selain sempadan kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.