JKR beri perhatian khusus projek kolam selam tempur Kem Iskandar, kata menteri pertahanan

JKR beri perhatian khusus projek kolam selam tempur Kem Iskandar, kata menteri pertahanan

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegur dan meminta penjelasan kelewatan pembinaan kolam selam tempur Kem Iskandar.

Keadaan terkini projek kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang kemajuan pembinaannya ditegur Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. (Gambar Facebook)
Keadaan terkini projek kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang kemajuan pembinaannya ditegur Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memberi perhatian khusus kepada projek kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang kemajuan pembinaannya ditegur Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Menurutnya, projek berkenaan sebenarnya telah mencapai kemajuan lebih 90%, sambil menjelaskan isu sebelum ini berlaku disebabkan masalah daripada kontraktor dinamakan yang tidak dapat menyiapkannya.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan JKR selaku agensi pelaksana perlu menggantikannya dengan sub kontraktor lain dan ia memakan lama kerana harus melalui proses tender.

Khaled Nordin.

“Kita (pemilik projek) telah dapat jaminan daripada JKR perkara ini memang diberi perhatian serius dan khusus yang dilaksanakan secepat mungkin,” katanya selepas melawat tapak projek Sasar Sungai Besi.

Beliau mengulas titah Sultan Ibrahim semalam supaya pihak bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Baginda yang juga kolonel komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

Malah, Sultan Ibrahim turut mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan dirobohkan dan menuntut penjelasan daripada JKR Johor serta jurutera daerah Mersing.

Dalam pada itu, Khaled berkata projek itu mengambil masa kerana perlu untuk mencari ganti sub kontraktor lain.

“Dia ada masalah dengan nominated sub kontraktor yang tak dapat menjalankan projek tersebut.

“Tak mudah cari ganti dan proses cari ganti itu perlu melalui tender dan sebagainya dan ia mengambil masa,” katanya.

Beliau juga berkata projek tersebut adalah projek Kementerian Pertahanan tetapi dikendalikan JKR.

“Jadi apa-apa kelewatan tentunya kontraktor akan dikenakan penalti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.