
Dalam satu hantaran di Facebook, Rafidah mendakwa beberapa pemimpin menyemai perbalahan untuk memecahbelahkan rakyat tanpa mengambil kira kesan negatif akibat tindakan mereka itu.
Menggambarkan politikus seperti itu sebagai “batu penghalang” kepada perpaduan negara, beliau berkata mereka sedang membebankan kerajaan dengan isu-isu yang tidak perlu demi kelangsungan politik mereka.
Beliau juga berkata Malaysia akan dilihat sebagai “negara tanpa kemudi yang dipengaruhi oleh ‘Napoleon kecil’ berfikiran sempit” jika tiada tindakan yang konkrit diambil untuk menghentikan tindakan memecah belah itu.
“Tindakan pemimpin yang berlagak gagah ini akan memberikan tanggapan bahawa mereka menjadikan pemimpin dalam gabungan kerajaan sebagai tebusan,” katanya.
“Diharapkan, kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan akan mengambil tindakan tegas untuk mengawal aktiviti seperti itu.
“Tidak dapat dinafikan bahawa majoriti besar rakyat Malaysia sedang berusaha untuk hidup dalam persekitaran yang aman damai, muhibah, harmoni, menghormati kepercayaan, dan budaya masing-masing.
“Kita harus berbangga menjadi rakyat Malaysia.”
Rafidah mengulas mengenai beberapa ahli politik memainkan isu kontroversi berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart demi keuntungan politik.
Beliau memberitahu FMT bahawa kenyataan provokatif daripada pemimpin sedemikian boleh mencetuskan pergesaran perkauman dan agama.