Saya tak ditahan berkait SRC, bekas pengarah beritahu mahkamah

Saya tak ditahan berkait SRC, bekas pengarah beritahu mahkamah

Shahrol Azral Ibrahim berkata malah pasportnya juga tidak pernah disita imigresen.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata SPRM mengambil kenyataannya pada 2015 tetapi tidak ditahan.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pengarah SRC International Sdn Bhd Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak ditahan pihak berkuasa berkaitan urus niaga syarikat itu, namun disekat daripada ke luar negara.

Shahrol, 54, yang memberikan keterangan selaku pihak ketiga dalam kes saman sivil RM1.18 bilion SRC International terhadap Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutifnya Nik Faisal Ariff Kamil berkata malah pasportnya juga tidak pernah disita pihak imigresen.

“Saya semak dengan imigresen…kemudian saya lihat nama saya di bawah sekatan perjalanan. Saya tidak pernah ditangkap. Sebenarnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah telah mengambil kenyataan saya pada 2015, tetapi saya tidak ditahan,” katanya ketika disoal peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Sebelum ini, dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Shahrol memberi keterangan bahawa sekatan perjalanan ke luar negara hanya dikenakan ke atasnya dari Julai 2018 hingga awal 2020.

Sementara itu dalam kenyataan saksinya, Shahrol menjelaskan beliau tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan berkaitan kerugian dan kerosakan dialami SRC International berhubung penyelewengan dana RM4 bilion daripada Pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung Rabu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.