
Mereka ialah Dr Musa Nordin dari Hospital Pakar Damansara, Dr Zulkifli Ismail (Hospital Pakar Selangor), Dr Erwin J Khoo (Universiti Perubatan Antarabangsa) dan Dr Timothy Cheng (Hospital Duchess of Kent Sandakan).
Mereka berkata kenyataan Dr Dayang Anita Abdul Aziz berhubung pindaan Akta Perubatan 1971 untuk menyelesaikan isu latihan laluan selari kepakaran yang tidak diiktiraf adalah “naif dan melupakan konteks sejarah”.
“Sebelum 1973, laluan selari adalah satu-satunya latihan dan pembekal tenaga pakar negara. Pada masa ini terdapat 13 program latihan khusus sedemikian di hospital yang dikendalikan Kementerian Kesihatan dengan lima lagi dalam perancangan.
“Bukankah kita sebenarnya terhutang budi dengan latihan laluan selari ini kerana banyak pakar kompeten yang telah dihasilkannya, walaupun sebelum program ijazah sarjana bermula?” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Mereka mengulas laporan Code Blue yang memetik Dayang sebagai berkata program laluan selari itu tidak sama dengan program latihan universiti di Malaysia.
Dayang, yang mempunyai sijil pascasiswazah dari Royal College of Surgeons of Edinburgh, berkata terdapat “kebimbangan” dengan program latihan laluan selari.
Empat doktor kanan itu secara sinis berkata mereka “kagum dengan keberaniannya”, dan menegaskan bahawa Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad harus meneruskan cadangan pindaan Akta Perubatan.
“Sebagai menteri kesihatan, peranan pengurusannya adalah untuk melahirkan lebih ramai pakar untuk kedua-dua sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta. Ia hanya boleh berlaku jika dia memastikan profesional perubatan yang bertelagah bekerjasama untuk meningkatkan kuantiti pakar yang terlatih dan menjaga kualiti lepasan ijazah perubatan kita.
“Di tengah-tengah pertikaian antara profesional perubatan, beliau telah memilih untuk melibatkan diri dengan pihak berkepentingan utama dan berusaha untuk mengharmonikan laluan selari dengan program sarjana,” kata mereka.
Kurikulum pascasiswazah perubatan
Mereka berkata, kurikulum pascasiswazah perubatan kebangsaan telah dilancarkan pada 2021 oleh Majlis Dekan Perubatan untuk menyatukan latihan berstruktur yang diselia untuk kedua-dua laluan latihan pakar sarjana dan selari.
Bagaimanapun, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan sektor penjagaan kesihatan awam sebanyak 18,912 pakar menjelang 2025 dan 23,979 menjelang 2030. “Pada kadar pengeluaran sekarang, hanya 19% daripada jumlah doktor dalam sektor awam adalah pakar dan bukannya 30% yang disasarkan.”
Doktor terbabit yang mempertahankan kualiti program laluan selari berkata, Royal College of Paediatrics and Child Health UK memformalkan penilaian berasaskan kerjanya pada 2005 manakala laluan selari pediatrik Malaysia mengikutinya lima tahun kemudian.
“Hampir semua program laluan selari yang lain telah menyatukan kurikulum, latihan, jawatan, penilaian berasaskan kerja dan kriteria keluar mereka, antara lain, sejak 2014.
“Untuk mencampurkan isu melibatkan dua hingga tiga program laluan berasaskan pembedahan yang tidak diuruskan dengan baik oleh Majlis Perubatan Malaysia kepada program lain yang berjaya, adalah tindakan yang tidak wajar,” tambah mereka.