
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di Facebook berkata kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama, malah beliau sendiri mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara pagi tadi, bagi berbincang lanjut situasi tegang di Timur Tengah itu.
Turut hadir dalam mesyuarat itu Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Mohamad Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan pegawai kanan kerajaan lain.
Beliau berkata, mengambil kira perbincangan yang diadakan semalam, mesyuarat diadakan dua hari berturut-turut termasuk hari ini, menunjukkan perhatian serius kerajaan Madani terhadap isu Timur Tengah, selain usaha diambil untuk memastikan Malaysia dan rakyatnya tidak terjejas oleh situasi terbabit.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata Malaysia bersama negara-negara bertamadun lain, menggesa rejim Zionis Israel tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.
“Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi. Pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah, berikutan serangan biadab oleh rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.
“Kita berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa-apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh rejim Zionis Israel,” katanya.
Anwar berkata, kunci penyelesaian kepada isu berkenaan ialah penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan tidak berperikemanusiaan di Gaza.
“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain. Gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.
“Dalam hal ini, sumbangan Malaysia terbaru sebanyak 100 kontena dijangka berlepas pada 27 April ini,” katanya.