Parti komponen Sarawak mungkin tolak gabungan PDP-PRS, kata penganalisis

Parti komponen Sarawak mungkin tolak gabungan PDP-PRS, kata penganalisis

Penganalisis politik James Chin berkata PBB dan SUPP tidak mahu satu barisan Dayak bersatu mencabar penguasaan mereka dalam gabungan parti pemerintah.

Presiden PDP Tiong King Sing dan pemimpin PRS Joseph Salang Gandum. Tetapi siapa yang akan mengetuai sekiranya gabungan parti itu menjadi kenyataan?
PETALING JAYA:
Parti-parti utama dalam gabungan pemerintahan Sarawak akan menentang sebarang penggabungan Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang akan membentuk barisan Dayak bersatu, menurut penganalisis.

James Chin dari University of Tasmania berpendapat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan menentang sebarang penggabungan tersebut, untuk mengekalkan kedudukan dominan mereka di negeri itu.

“Penggabungan itu tidak akan berlaku. Sebab utama adalah PBB dan SUPP tidak mahu melihat barisan Dayak bersatu kerana mereka tidak mahu komuniti Dayak menentang kedudukan mereka di Sarawak,” kata Chin kepada FMT.

Chin mengulas cadangan oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, mengenai kemungkinan PDP dan PRS bergabung.

Sng berkata beliau percaya ia akan menguatkan gabungan pemerintahan, Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan “agenda Dayak”.

Naib Presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah pula berkata cadangan itu satu idea yang baik jika pemimpin-pemimpin GPS dapat mencapai kata sepakat.

PBB, rakan utama GPS, terdiri daripada sayap Bumiputera dan sayap Pesaka untuk Dayak, tetapi pemimpin parti telah diterajui Melayu sejak Taib Mahmud mengambil alih kepimpinan pada 1981.

GPS, yang terdiri daripada PBB, SUPP, PDP, dan PRS, kini memegang 79 daripada 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Tambah Chin, penggabungan PDP-PRS juga akan menghadapi tentangan dari ahli mereka sendiri kerana ia akan mencetuskan perjuangan untuk jawatan presiden.

Beliau berkata Presiden PDP, Tiong King Sing, seorang menteri persekutuan, tidak akan melepaskan jawatannya dengan mudah, manakala PRS, yang dipimpin oleh Joseph Salang Gandum, tidak akan suka mempunyai pemimpin bukan Dayak.

Walaupun PRS terdiri sebagai parti pelbagai kaum, ia memberi penekanan khusus kepada pembangunan komuniti Dayak-Iban.

Chin juga berkata sebahagian komuniti Dayak akan menolak cadangan penggabungan itu, kerana ia akan mengurangkan peluang pemimpin Dayak untuk maju dalam politik. Ketika ini mereka mempunyai peluang untuk mendaki tangga politik melalui SUPP, PDP, PRS, dan PBB.

“Jika pilihan mereka berkurangan melalui penggabungan ini, banyak daripada komuniti minoriti Dayak, seperti Bidayuh dan Orang Ulu, tidak akan bersetuju,” tambahnya.

Penganalisis dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi pula berpendapat, PRS dan PDP tidak akan berminat dengan penggabungan itu, ekoran perbezaan fokus mereka.

“Presiden PDP, Tiong, sudah selesa memimpin parti pelbagai kaum. PRS, yang kebanyakkannya Iban, tidak akan cenderung untuk terlibat dalam penggabungan seperti itu juga,” katanya.

Bagaimanapun, Awang Azman menolak pandangan bahawa penggabungan PDP-PRS akan mengancam dominasi PBB dalam gabungan dan dalam politik Sarawak.

“PBB sudah dihormati di peringkat politik Sarawak dan kebangsaan. PBB pada asasnya memegang liga unik dan status yang tersendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.