Agong mahu penjelasan kelewatan pembinaan kolam selam tempur Kem Iskandar

Agong mahu penjelasan kelewatan pembinaan kolam selam tempur Kem Iskandar

Sultan Ibrahim bertitah kolam itu yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022 sehingga kini masih dalam pembinaan.

Yang di-Pertuan Agong menitahkan papan tanda dipasang semula di tapak projek pembinaan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan pihak bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga kolonel komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

“Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak berkenaan. Pada hari ini, saya mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan pula dirobohkan.

“Mengapa ia dirobohkan, saya mahu perkara ini diperjelaskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dan jurutera daerah Mersing,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office yang dikongsikan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sehubungan itu Yang di-Pertuan Agong menitahkan papan tanda berkenaan dipasang semula di tapak projek pembinaan.

Majlis pecah tanah kolam berkenaan disempurnakan Sultan Ibrahim pada Mei 2018.

Kolam selam tempur merupakan fasiliti yang amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim.

Fasiliti itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti “mock up” kapal, “entry point” bagi kemasukan melalui udara, serta banyak lagi kemudahan asas sokongan operasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.