
Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan tiga kelongsong peluru dengan satu daripadanya tidak meletup.
“Satu daripadanya belum meletup. Suspek memiliki senjata itu secara haram dan dipercayai diperoleh dari negara jiran.
“Bagaimanapun, siasatan masih dilakukan pihak kita (polis),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, seorang pengawal peribadi cedera parah selepas terkena satu daripada dua das tembakan dilepaskan suspek di Balai Ketibaan KLIA, kira-kira 1.30 pagi tadi.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
Beliau berkata, suspek dipercayai sudah melarikan diri ke utara.
Dalam kejadian awal pagi tadi, katanya, suspek pada mulanya melempar mercun hingga mencederakan dua orang awam, sebelum menghampiri mangsa yang diiringi dua pengawal peribadi dan melepaskan dua tembakan pada jarak 3m hingga 4m.
Menurutnya, pengawal peribadi yang terkena tembakan di perut itu kini dalam keadaan kritikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 kerana cubaan membunuh serta Akta Senjata Api.