Konflik Iran-Israel: Kerajaan pantau pasaran kewangan dan potensi kesan

Konflik Iran-Israel: Kerajaan pantau pasaran kewangan dan potensi kesan

Kerajaan akan bertindak bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara, kata perdana menteri.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semua pihak harus main peranan memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memantau rapat perkembangan konflik Iran-Israel dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia.

“Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat,” kata beliau di Facebook.

Anwar berkata Malaysia berpendirian semua pihak harus memainkan peranan memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat, dan berusaha mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.

“Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera,” kata beliau.

Terdahulu, perdana menteri bertemu Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dan pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di Timur Tengah.

Media antarabangsa melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran memulakan operasi serangan dron, menyasarkan lokasi di dalam wilayah yang diduduki Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.