Kami sertai PDP tanpa syarat, kata bekas presiden PSB

Kami sertai PDP tanpa syarat, kata bekas presiden PSB

Wong Soon Koh berkata pihaknya tidak mengharapkan jawatan dalam Jemaah Menteri Sarawak sebagai balasan bubar PSB dan sertai PDP.

Bekas presiden Wong Soon Koh menyifatkan pembubasan Parti Sarawak Bersatu sebagai bersejarah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh, menegaskan tiada syarat ditetapkan untuk membubarkan parti itu dan menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).

Beliau juga tidak mengharapkan sebarang jawatan dalam Jemaah Menteri Sarawak sebagai balasan, katanya.

“Saya tidak meminta apa-apa. Tiada sebarang syarat,” katanya lapor Utusan Borneo, selepas majlis Aidilfitri 2024 anjuran DUN Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Wong turut menyifatkan pembubaran PSB “bersejarah”.

“Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) di Putrajaya memberitahu kami bahawa PSB parti pertama dalam sejarah Malaysia yang telah membubarkan dirinya sendiri.

“Semua parti lain, satu cara atau yang lain ialah dibatalkan pendaftarannya. Tetapi bagi kami, tidak. Kami membubarkan diri untuk membuka jalan untuk menyertai PDP supaya kami menjadi sebahagian daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Pada 31 Mac lalu, media melaporkan PSB dibubarkan bagi membuka jalan kepada ahlinya menyertai PDP, dipimpin menteri persekutuan, Tiong King Sing.

PSB dipimpin Wong, dilaporkan mempunyai 80,000 ahli, termasuk tiga Adun iaitu Wong (Bawang Assan), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkili), dan Baru Bian (Ba Kelalan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.