Empangan Air Itam makin kritikal

Empangan Air Itam makin kritikal

Chow Kon Yeow berkata paras air hampiri tahap kritikal ketiga iaitu kapasiti hanya 30% akibat kemarau.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata Empangan Air Itam hanya boleh bertahan selama 30 hari ambil kira tahap kritikal semasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Empangan Air Itam hampir mencapai tahap kritikal ketiga dengan jangkaan dapat bertahan 30 hari sahaja, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Katanya, paras air di empangan itu hari ini pada 30.8%, berbanding tahap kritikal ketiga, 30%.

“Kita hampir mencapai tahap kritikal ketiga sekarang. Pada kadar ini, bekalan air dari Empangan Air Itam hanya boleh bertahan selama 30 hari.

“Kita hanya menerima 22.5mm hujan di kawasan tadahan Air Itam sejak awal bulan ini, yang mengakibatkan penurunan mendadak paras air di empangan Air Itam,” katanya menurut Berita Harian di Georgetown.

Paras kritikal pertama apabila air empangan mencapai 50%, manakala tahap kritikal kedua 40%.

Kon Yeow berkata hujan diterima biasanya 300mm setiap bulan.

Pada 6 April, penduduk Pulau Pinang dinasihatkan mengurangkan penggunaan air sebanyak 10% mulai bulan ini sehingga Jun, bagi memastikan bekalan air di negeri itu mencukupi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata pengguna juga dinasihatkan supaya berhemat menggunakan air sehingga hujan tiba, bagi menambah simpanan air mentah Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Katanya, METMalaysia meramalkan hujan sederhana untuk Pulau Pinang pada April, Mei, Jun dan Julai ini, namun tidak diketahui jumlah kapasiti sebenar untuk meningkatkan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dengan ketara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.