
Menurut sumber, halangan utama ialah dasar Bumiputera UiTM, yang memerlukan pindaan undang-undang dan peraturan universiti tertentu, sebelum rancangan itu boleh diteruskan kerana ia membabitkan doktor bukan Bumiputera.
Sumber berkata, satu lagi faktor ialah kos kerana RM100,000 diperlukan untuk setiap pelatih menjalani program tidak ditetapkan di UiTM supaya MPM boleh mendaftarkan mereka dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) sebelum dibenarkan berlatih dalam negara.
“Ini membingungkan kerana kelayakan UiTM tiada dalam senarai laman web NSR. Keputusan untuk menerima cadangan UiTM itu dibuat tergesa-gesa dalam mesyuarat dihadiri wakil MPM, UiTM, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan Tinggi serta Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia.
“Pengerusi enggan terima pandangan segelintir pihak yang memberi amaran tentang masalah ini. Pihak berkuasa hanya sedar ada isu selepas menghantar surat kepada pakar bedah laluan selari dan pelatih untuk memohon ke UiTM,” kata sumber itu kepada FMT.
Minggu lalu, FMT memetik e-mel melaporkan tiga pakar bedah kardiotoraks, termasuk seorang yang menamatkan latihan di Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) diminta membuat permohonan di UiTM.
Hospital itu berkata, UiTM bersetuju menawarkan laluan ini sebagai penyelesaian kepada masalah mereka tidak diiktiraf MPM.
Januari lalu, Institut Jantung Negara meminta lapan pakar bedah kardiotoraks terlatih RCSE dan pelatih mendapatkan akreditasi dengan memohon untuk meneruskan program mereka di UiTM.
Program UiTM itu diberikan akreditasi sementara oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2021, tetapi belum diiktiraf MPM. Program pembedahan kardiotoraksnya dijangka melahirkan kumpulan pertama graduan pada 2028.
Sumber lain berkata, seorang pelatih PPUM yang pada mulanya membantah, kemudian memutuskan untuk menerima tawaran itu, tetapi pihak berkuasa menangguhkannya setelah menyedari timbul masalah itu.
Katanya, KKM memperuntukkan RM90 juta di bawah dua Rancangan Malaysia terakhir untuk program laluan selari dalam usaha melahirkan pakar amat diperlukan bagi memenuhi permintaan sistem penjagaan kesihatan negara, yang mengalami tekanan teruk.
“Keputusan tidak profesional MPM menunjukkan ini semua sia-sia kerana keengganannya mengiktiraf kelayakan daripada institusi diiktiraf di peringkat global seperti RCSEd. Ramai pakar bedah ini menghabiskan banyak masa di hospital tempatan untuk latihan praktikal mereka dengan tugas hibrid di luar negara yang dibiayai pembayar cukai.
“Pakar bedah ini juga telah lulus RCSEd Joint Specialty Fellowship Examination mandatori dalam pembedahan kardiotoraks yang digunakan di Hong Kong dan Singapura, tetapi mereka tidak diiktiraf,” kata sumber itu.
FMT sudah menghubungi PPUM untuk mengulas.