SKMM rakam keterangan pengendali akaun media sosial

SKMM rakam keterangan pengendali akaun media sosial

Kad sim dan telefon bimbit milik pengendali terbabit turut dirampas dan disita.

Tangkap layar video lama memaparkan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan, yang ditularkan di media sosial.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam percakapan pengendali akaun media sosial MyNewsHub, berkait tindakan memuat naik video simulasi keselamatan membabitkan ketua setiausaha negara.

Pengendali terbabit dirakam keterangan di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya kira-kira 8:40 malam semalam.

Kad sim dan satu unit telefon bimbit milik pengendali terbabit turut dirampas dan disita bagi membantu siasatan.

“Setelah selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,” kata SKMM dalam kenyataan.

Semalam, SKMM berkata ia memandang serius penularan video tersebut dengan tajuk “yang dilihat berniat untuk membina persepsi negatif terhadap penjawat awam”.

Sebelum itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyeru orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang dikongsikan bagi tujuan mencalar imej kerajaan dan perkhidmatan awam.

Pesanan itu menjelaskan video lama yang tular di media sosial, memaparkan polis bantuan ‘menghalang’ seorang individu menaiki pentas Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali di suatu majlis.

Menurut JPA, kejadian yang dipaparkan oleh video pudar itu sebenarnya simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan situasi serangan provokatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.