
Tinjauan di Little India, Lebuh Pasar mendapati ramai orang membuat persiapan akhir seperti membeli bunga, buah-buahan, dan barangan upacara sembahyang sejak pagi.
K Unnamalai, 45, yang meraikan Chittirai Puthandu melahirkan rasa gembira kerana sambutan kali ini jatuh pada Ahad, manakala hari ini (Sabtu) pula hari cuti yang memudahkannya membuat persiapan terakhir.
“Setiap tahun, selepas bekerja saya perlu bergegas membeli bunga, barangan sembahyang dan sayur-sayuran, tetapi tahun ini saya lebih tenang membuat persiapan,” katanya.
Bagi N Sutha Nair, 30, sehari sebelum perayaan Vishu ialah masa terbaik membeli sayur-sayuran untuk penyediaan hidangan vegetarian kerana ia akan lebih segar.
Menurut Presiden Malaysia Hindu Sangam, T Ganesan, tahun baharu Tamil kali ini dikenali sebagai tahun Krodhi.
Dalam pada itu, komuniti Sikh pula meraikan Vaisakhi hari ini iaitu perayaan menuai musim bunga dan kelahiran ‘Khalsa’ oleh Guru Sikh yang ke-10, Guru Gobind Singh Ji, dan perayaan sedang berlangsung di kebanyakan gurdwara di Pulau Pinang.
Timbalan Presiden Gurdwara Sahib Bayan Baru, Manjeet Singh, memberitahu gurdwara itu memulakan bacaan kitab suci Sri Guru Granth Sahib Ji pada 4 petang semalam dan dijangka selesai pukul 4 petang esok.
“Kami juga mengadakan Nishan Sahib Selami (upacara menaikkan bendera Khalsa) pada 5 petang hari ini dan diikuti oleh Naujawan Kirtan Darbar,” katanya.
Manjeet berkata gurdwara itu bersama Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Pulau Pinang juga menganjurkan kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, ceramah dan bengkel komputer riba untuk lebih 100 orang.