
Naib Presidennya, Ronald Kiandee, berkata parti sebaliknya mahu wakil rakyatnya itu bersama seorang lagi Adun diberikan peluang menyambut Aidilfitri terlebih dahulu.
“Setakat ini belum (hantar notis ke Speaker)…seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu), biar mereka sambut raya dahulu,” katanya, menurut Berita Harian.
Beliau yang turut ditanya sama ada notis akan diberikan sebelum berlangsungnya sidang Dewan Rakyat pada Jun ini, Ronald bagaimanapun tidak mempunyai perincian mengenai perkara terbabit.
Semalam, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris dilaporkan berkata keahlian wakil rakyat terbabit yang berpaling tadah kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.
Katanya, mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian masing-masing tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.
Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Awal bulan ini, JPPM dilaporkan turut meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu.