
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, cadangan Wong bukan perkara baharu kerana ramai pernah menyarankan DAP Sarawak berubah atau menjenamakannya sebagai parti berpangkalan di Sarawak bagi meningkatkan sokongan dalam kalangan pengundi tempatan.
Idea di sebaliknya untuk memanfaatkan tahap tinggi nasionalisme Sarawak, tetapi beliau berkata, ada parti yang mencuba kaedah itu dan gagal.
Beliau memberi contoh bekas parti Wong, Parti Sarawak Bersatu dan sebuah lagi parti dikenali Parti Bumi Kenyalang “memainkan nasionalisme Sarawak ini dan ia tidak berhasil”.
“Ramai berpendapat DAP akan mendapat lebih banyak sokongan masyarakat Cina dan Dayak (dengan berbuat demikian), tetapi tiada data menyokongnya,” katanya kepada FMT.
Chin berkata, DAP yang melebarkan sayap ke Sarawak pada 1978 sudah mempunyai pangkalan pengundi besar, walaupun sebahagian besarnya terdiri daripada orang Cina dan sebahagian masyarakat Bidayuh. Kelemahannya ialah mendapatkan sokongan pengundi Iban dan Melayu.
“Mereka mempunyai seorang wakil rakyat Bidayuh (Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol), tetapi mereka perlu menembusi pasaran undi Iban.”
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya yang senada berkata, mempunyai status parti berasaskan Sarawak tidak semestinya akan mendapat lebih banyak undi.
Beliau berkata, DAP Sarawak perlu meningkatkan sokongannya dalam kalangan Bumiputera Sarawak, sama ada Dayak – yang terdiri daripada Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain – atau orang Melayu.
Katanya, ini boleh dilakukan dengan meletakkan calon Bumiputera berwibawa yang memahami isu tempatan dan merupakan masyarakat setempat, di kawasan campuran dengan demografi ketara pengundi bukan Bumiputera.
Menurutnya, ini akan meningkatkan jumlah calon Bumiputera Sarawak dan daya tarikannya dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, DAP Sarawak perlu mendapatkan lebih ramai tokoh Dayak dalam proses politik dan penggubalan dasarnya dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat untuk memperluaskan sokongan dalam kalangan mereka.
Wong yang juga naib presiden kanan PDP mencadangkan DAP Sarawak berubah menjadi “pembangkang berasaskan tempatan sepenuhnya” dengan berundur daripada parti kebangsaannya dan wakil rakyatnya melepaskan portfolio di peringkat persekutuan.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyifatkan cadangan Wong “tidak masuk akal” dan DAP Sarawak akan kekal sebahagian daripada parti kebangsaan.