Waspada cubaan calar imej kerajaan, pesan JPA selepas video simulasi keselamatan tular

Waspada cubaan calar imej kerajaan, pesan JPA selepas video simulasi keselamatan tular

JPA menjelaskan video memaparkan polis bantuan 'halang' seorang individu menaiki pentas KSN sebenarnya simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan.

Tangkap layar video lama memaparkan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan, yang ditularkan di media sosial.
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyeru orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang dikongsikan bagi tujuan mencalar imej kerajaan dan perkhidmatan awam.

Pesanan itu menjelaskan video lama yang tular di media sosial hari ini, memaparkan polis bantuan ‘menghalang’ seorang individu menaiki pentas Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali di suatu majlis.

Menurut JPA, kejadian yang dipaparkan oleh video pudar itu sebenarnya simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan situasi serangan provokatif.

“JPA mengambil serius terhadap sebarang cubaan untuk melemahkan institusi perkhidmatan awam dengan memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap isu dan kebajikan pegawai awam,” katanya dalam kenyataan.

“Tindakan dengan memuat naik sebarang kandungan palsu yang mengundang salah faham dan mengelirukan masyarakat boleh disabitkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kepada yang terlibat.”

Video kira-kira satu minit 10 saat itu memaparkan polis bantuan ‘menghalang’ seorang individu daripada menaiki pentas ketua setiausaha negara, selepas bertanya mengenai status permohonan kuarters kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.