Alunan gambus Johor yang semakin lenyap ditelan zaman

Alunan gambus Johor yang semakin lenyap ditelan zaman

Dua aktivis gambus Johor meneruskan legasi peninggalan orang tua mereka dan berkata ia sesuatu yang harus dipertahankan.

Halidan Ithnin (kiri) bersama Zaidan Attan ketika ditemui FMT di Batu Pahat.
BATU PAHAT:
Kedatangan pedagang Arab ke Nusantara bukan hanya untuk berdagang atau menyebarkan risalah Islam tetapi turut membawa kebudayaan dan identiti masyarakat mereka, antaranya alat muzik gambus yang cukup terkenal terutama di Johor.
Halidan Ithnin.

Namun kini alat muzik itu seakan asing dalam kalangan anak muda yang lebih cenderung kepada muzik moden. Bagi dua aktivis seni gambus ditemui FMT, legasi peninggalan orang tua mereka adalah sesuatu yang harus dipertahankan.

“Salah satu ikon Johor itu gambus. Jadi kita pertahankanlah.

“Kita berterima kasih kepada orang terdahulu yang memperkenalkan gambus. Sekarang kita pertahankan, itu satu tanggungjawab,” kata pembuat gambus Halidan Ithnin.

Halidan mendemonstrasikan cara memotong ukiran secara manual untuk kotak suara besar.

Halidan, 58, yang berkecimpung dalam pembuatan alat muzik itu sejak 1996 berkata, kebetulan bapa saudaranya Hassan Osman adalah tokoh pembuat gambus di Johor.

Zaidan Attan.

Bagi pemain gambus Zaidan Attan, 36, beliau menjadikan alat muzik itu sebahagian identitinya dan meneruskan legasi arwah bapa, Attan Hassan bersama abangnya, Nizam yang juga pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Orang kata nak membuat legasi dan mengekalkannya amat payah. Minat saya bermain gambus kerana saya dibesarkan daripada keluarga aktivis gambus. Melalui arwah ayahanda saya iaitu Allahyarham ustaz Attan Hassan, dia telah menubuhkan kumpulan gambus Nurul Hilal,” katanya.

Zaidan berkata, tanpa pembuat gambus seperti Halidan, tiadalah pemain sepertinya sambil mengimbau gambus pertamanya adalah hasil buatan tangan bapa saudara Halidan.

Halidan menunjukkan motif lada hitam pada ukiran kotak suara besar gambus buatannya.

Menurut Halidan dan Zaidan, walaupun gambus berasal dari tanah Arab, rekaan mahupun cara bermain disesuaikan dengan cita rasa tempatan.

“Saya nak jadikan gambus ini berwajah Melayu yang mana kayu itu hidup dengan saya, bernafas dan sebati dengan saya,” kata Halidan.

“Gambus ini sinonim dengan Arab, tapi kita menyampaikan dengan cara Melayu, gaya kita,” tambah Zaidan.

Bapa saudara Halidan, Hassan Osman tokoh pembuat gambus Johor.

Mengimbau pengalaman manis sepanjang bergelar pembuat gambus, Halidan berkata Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia mengiktirafnya sebagai Adiguru Kraf pada 2023.

“Itu satu kepuasan untuk saya kerana ada orang yang menghargai kerja saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.