
Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, isu itu ada kaitan dengan cara Umno perlu mendapatkan semula sokongan orang Melayu, susulan dakwaan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin bahawa Akmal diarah berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung isu terbabit.
“Ia menggambarkan bagaimana parti itu berpecah belah dalam hala tuju dan strateginya untuk menuntut semula kedudukannya sebagai parti politik Melayu dominan.
“Mereka yang menyokong Akmal percaya politik identiti kunci mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu.”
Tetapi, walaupun tindakan Akmal boleh meraih sedikit sokongan buat diri dan partinya dalam kalangan orang Melayu, penganalisis itu memberi amaran ia boleh makan diri Umno menjelang PRN Sabah akan datang.
“Strategi politik berterusan Akmal akan mendorong pengundi di Sabah menjauhi Umno,” katanya sambil menambah Adun Merlimau itu mengheret isu berkenaan terlalu lama.
Sabah dan Sarawak sekian lama disebut-sebut lebih sederhana dan bertolak ansur berbanding rakan mereka di Malaysia Barat, imej yang sering digunakan parti tempatan dalam menggesa pengundi menolak parti berasaskan Semenanjung.
Akmal menerajui boikot awam terhadap KK Mart atas isu stoking tertera kalimah Allah, walaupun selepas rangkaian kedai serbaneka itu memohon maaf. Pengasas dan pengarahnya kemudiannya didakwa melukakan perasaan umat Islam.
Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerima menghadap pimpinan kanan Umno dan DAP, termasuk Akmal, untuk membincangkan “perkembangan terkini berkaitan kaum dan agama”.
Selepas pertemuan itu, Akmal dilaporkan berkata, beliau akan menjunjung titah Agong “untuk menjaga keharmonian dan memelihara kesucian Islam supaya polemik sedang berlaku dapat diredakan”.
FMT sudah menghubungi Akmal untuk mengetahui jika beliau akan menamatkan kempen boikotnya.
Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, sesetengah pemimpin dalam Majlis Kerja Tertinggi Umno mungkin tidak mahu mengecewakan rakan mereka dalam kerajaan perpaduan, termasuk sekutu Borneo dan parti yang mempunyai pengundi bukan Melayu.
Katanya, ada dalam kalangan pemimpin Umno yang, seperti Akmal, percaya “menjadi hero” mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam ialah cara terbaik mendapatkan semula sokongan pengundi.
Tetapi, katanya, respons Bung menggambarkan rasa kurang senang dengan pendekatan Akmal dalam isu itu.
“Isu KK Mart tidak diterima dengan baik di Borneo, yang tidak berkongsi kebimbangan sama.”