Terpedaya dengan ‘pegawai bank’, peniaga sayur rugi hampir RM960,000

Terpedaya dengan ‘pegawai bank’, peniaga sayur rugi hampir RM960,000

Mangsa berusia 69 tahun itu dijanjikan ganjaran untuk mengaku sebagai saudara seorang pendeposit yang telah meninggal dunia.

Mangsa dihubungi oleh suspek menerusi Facebook pada 30 Mac tahun lepas, sebelum memindahkan RM958,088 menerusi 70 transaksi antara Mei tahun lepas dan bulan lepas.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas peniaga sayur rugi RM958,088 setelah terpedaya dengan seorang “pegawai bank” kononnya dari Dubai.

Lelaki berusia 69 tahun itu dikatakan menerima panggilan melalui Facebook daripada suspek pada 30 Mac tahun lepas, meminta mangsa mengaku sebagai saudara kepada seorang pendeposit sebanyak USD26,700,000 yang telah meninggal dunia.

Mangsa dijanjikan sebanyak 50% daripada tuntutan terbabit sekiranya bersetuju dengan tawaran itu, menurut Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.

“Suspek kemudian dikata menyambungkan talian kepada seorang peguam yang menguruskan segala transaksi berhubung bayaran dikenakan terhadap mangsa seperti cukai, levi, bayaran anti pengubahan wang haram dan sebagainya,” katanya, lapor Berita Harian.

Mangsa memindahkan wang daripada simpanannya menerusi 70 transaksi ke dalam 26 akaun bank berbeza dari 9 Mei 2023 hingga 11 Mac lalu, namun tidak mendapat bayaran yang dijanjikan. Dia kemudian tampil membuat laporan polis.

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.