
Dalam e-mel kepada tiga pakar bedah kardiotoraks, termasuk seorang yang menamatkan latihan ini di Royal College of Surgeons Edinburgh (RCSEd), hospital itu berkata, UiTM bersetuju menawarkan laluan ini sebagai penyelesaian kepada masalah kelayakan kepakaran mereka tidak diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MPM).
Program UiTM itu diberikan akreditasi sementara oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2021.
Ia turut menawarkan tempat kepada mereka yang masih menjalani latihan di PPUM untuk kelayakan kepakaran mereka diiktiraf di bawah program pemindahan kredit.
“PPUM sudah bersetuju dengan cadangan UiTM bagi tujuan ini. Anda dikehendaki mengemukakan permohonan kepada pengarah program UiTM yang akan mempertimbangkannya sebelum menghantar surat tawaran rasmi,” katanya dalam e-mel dilihat FMT.
E-mel itu dihantar Bahagian Latihan dan Pembangunan Profesional Jabatan Sumber Manusia PPUM.
Tetapi, sumber berkata, tiga pakar bedah itu menolak tawaran berkenaan.
Tiga pakar bedah kardiotoraks itu sedang berusaha mendapatkan pendaftaran dengan MPM dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) berdasarkan Seksyen 14C Akta Perubatan 1971.
MPM sebelum ini mengumumkan sebuah pasukan petugas akan meneliti perkara itu.
Senator Dr RA Lingeswaran yang sedang meneruskan perkara itu di Dewan Negara berkata, walaupun program UiTM mungkin mendapat akreditasi sementara MQA, kursus pembedahan kardiotoraks tiada dalam senarai kelayakan pasca siswazah yang diiktiraf di laman web itu.
“Dalam keadaan ini, graduan program UiTM tidak akan disenaraikan dalam NSR. Oleh itu, mereka tidak boleh berkhidmat sebagai pakar.
“Penting bagi kita membezakan akreditasi MQA dan pengiktirafan MPM. Tanpa pengiktirafan majlis itu, pakar daripada program yang diiktiraf MQA ini tidak boleh disenaraikan dalam NSR,” kata bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang itu.
Januari lalu, Institut Jantung Negara meminta lapan pakar bedah kardiotoraks terlatih RCSE serta pelatih pembedahan kardiotoraks dan vaskular mendapatkan akreditasi dengan memohon untuk meneruskan program mereka di UiTM.
Maklumat ini ditemui dalam saman difailkan empat pakar bedah kardiotoraks dilatih di bawah program laluan selari RCSEd, yang memohon perintah untuk memaksa MPM menyenaraikan mereka dalam NSR.
Permohonan semakan kehakiman itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 April ini.