Kerajaan digesa pastikan proses wajar, adil tawar bantuan kepada artis

Kerajaan digesa pastikan proses wajar, adil tawar bantuan kepada artis

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, pemohon perlu menunjukkan kualiti dan pencapaian luar biasa.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, Putrajaya akan mempertimbangkan pemberian biasiswa kepada Jasmine Suraya Chin untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana di AS.
PETALING JAYA:
Sebarang rancangan membiayai hasrat individu melanjutkan pengajian di luar negara perlu melalui proses sewajarnya, kata Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez.
Harith Iskander.

Pelawak Harith Iskander pula berkata, ia perlu dilakukan secara adil dan saksama.

Mereka mengulas laporan memetik Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebagai berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk membantu pelakon Jasmine Suraya Chin, 35, membiayai pengajiannya di Amerika Syarikat.

Wanita Sarawak itu dilaporkan menjual asetnya seperti kereta untuk membiayai program ijazah sarjana selama setahun yang berjumlah RM400,000 di The Lee Strasberg Theatre and Film Institute, Los Angeles.

Freddie Fernandez.

Fernandez berkata, disebabkan kos tinggi untuk program seumpama itu di luar negara, sebarang keputusan menawarkan bantuan perlu berdasarkan kualiti dan tahap pencapaian penerima.

“Beliau boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan dengan memberikan justifikasi diperlukan untuk menunjukkan (dirinya mencapai) keputusan (akademik) mengagumkan,” katanya kepada FMT.

Beliau mencadangkan satu proses diwujudkan untuk saringan permohonan sedemikian dan menilai merit mereka sebelum sebarang bantuan diberikan.

Katanya, dahulu, mereka yang ingin belajar di luar negara perlu menanggung perbelanjaan sendiri.

“Kami mempunyai ramai graduan muzik ke Berkeley (Berklee College of Music di Boston) menggunakan dana sendiri. Mungkin segelintir daripadanya mendapat biasiswa, tetapi kebanyakannya dibiayai sendiri.”

Harith berkata, kerajaan harus mengambil kira keperluan pendidikan lebih luas rakyat apabila membuat keputusan untuk membiayai hasrat akademik individu.

Walaupun penting untuk mengiktiraf dan menyokong bakat dalam pelbagai bidang, katanya, ia juga sama penting mengutamakan inisiatif yang menggalakkan keterangkuman dan memastikan peluang sama buat semua rakyat Malaysia, khasnya golongan kurang bernasib baik.

“Ramai individu di Malaysia berdepan halangan ketara dalam akses kepada pendidikan asas, dengan kekangan kewangan antara halangan terbesar untuk meneruskan pengajian. Individu ini tidak boleh terlepas pandang apabila menghulurkan bantuan kerajaan,” katanya kepada FMT.

FMT sudah menghubungi pembantu Fahmi untuk mengetahui kriteria bagi menentukan sama ada Jasmine perlu dibiayai.

Menurut laporan Kosmo, Jasmine menghubungi kerajaan Sarawak, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Yayasan Sarawak serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk mendapatkan bantuan, tetapi beliau ditolak kerana keutamaan diberikan kepada bidang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.