Seragam sekolah baju raya, Ismail imbau nostalgia Aidilfitri

Seragam sekolah baju raya, Ismail imbau nostalgia Aidilfitri

Bekas perdana menteri berkata walaupun berbaju sekolah perasaannya sama seperti kanak-kanak lain yang teruja menantikan Syawal kerana dapat memakai pakaian baharu.

Ismail Sabri Yaakob berkata kehidupan semasa kecilnya tidak mudah kerana miskin, namun beliau berpegang kepada semangat – hanya pendidikan mampu mengubah hidup seseorang.
PETALING JAYA:
Setiap kali Aidilfitri, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pasti tidak lupa kenangan memakai seragam sekolah dibeli bapa di pekan sehari Temerloh untuk menyambut hari raya sekitar 70-an.

Ismail, 64, berkata walaupun berbaju sekolah perasaannya sama seperti kanak-kanak lain yang teruja menantikan Syawal kerana dapat memakai pakaian baharu.

“Raya memang dinanti sebab waktu itu dapat baju baru, setahun itulah…raya saja kita harap dapat baju baru.

“Kalau dapat baju baru seronoklah, berwarna-warni tapi kadang-kadang oleh kerana raya dekat dengan musim sekolah, baju raya (adalah) baju sekolah kerana tak perlu beli baju raya dah waktu itu,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Ismail Sabri Yaakob ketika berusia setahun bersama abangnya Kamarazaman (berdiri) dan Zamri (memangku Ismail).

Ahli Parlimen Bera berkata, kehidupan semasa kecilnya tidak mudah kerana miskin, namun beliau berpegang kepada semangat – hanya pendidikan mampu mengubah hidup seseorang.

Berteman pelita

Ismail yang juga anak penoreh sempat belajar “bertemankan” pelita kerana waktu itu tempat tinggalnya belum mendapat bekalan elektrik, malah menjadikan kebun getah sebagai tempat berteduh di kala hujan dalam perjalanan ke sekolah.

Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bangau, Temerloh, pernah bercita-cita menjadi pegawai daerah (DO) kerana baginya ia adalah kerjaya dianggap cukup hebat dalam kalangan masyarakat.

“Saya selalu sebutkan, saya daripada keluarga sangat miskin. Tak pernah pun terfikir nak jadi menteri, apatah lagi perdana menteri, kerja pun tak tahu kerja apa yang bagus.

“Cuma waktu kecil dulu ditanya apa cita-cita saya nak jadi DO. Waktu itu saya nampak (itu kerjaya) paling hebat kerana bila DO datang melawat kampung kita, semua pakai baju baru, makan sedap-sedap, saya nampak itu jawatan tertinggi,” katanya.

Namun, siapa sangka angan-angan menjadi pemimpin setempat akhirnya menyaksikan anak bongsu daripada enam beradik itu menduduki kerusi nombor satu negara apabila dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

Bantu keluarga

Sejak kecil, Ismail banyak membantu keluarga demi mencari wang lebih dengan menjual tembikai, limau, apam balik dan ais krim di kampungnya selepas pulang dari sekolah.

Ismail Sabri Yaakob melayan Omar Faruk Abdul Jabbar, anak yatim dari Rumah Amal Asnaf Al-Barakh membeli pakaian baharu untuk sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

Antara pengalaman tidak dapat dilupakan bapa kepada penyanyi Dafi itu apabila hasil jualan limau di kaki lima dirampas pihak berkuasa.

“Bila masuk politik saya pernah jadi ahli majlis daerah Temerloh, pengerusi penguatkuasaan dan undang-undang…jadi saya beritahu pegawai penguat kuasa, dulu kamu pernah rampas limau aku, sekarang tak boleh berlaku.

“Dengan orang susah jangan rampas, nak saman…samanlah. Mereka boleh bayar, alat-alat perniagaan mereka ada lagi.

“Tapi bila rampas semua sekali macam mana dia nak hidup, akhirnya berhenti (berniaga) habislah pendapatan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.