
Bank pusat dalam kenyataan berkata kedua-dua bank juga perlu memberikan langkah-langkah pembetulan dan pencegahan yang dilaksanakan bagi mengelakkan isu yang sama berulang.
Menurutnya, BNM memandang serius gangguan perkhidmatan perbankan oleh dua institusi perbankan terbesar negara baru-baru ini yang telah mengakibatkan kesulitan pada pelanggan.
“Perkhidmatan perbankan kedua-dua bank ini telah kembali pulih.
“Bank ini juga telah diarahkan untuk berkomunikasi dengan pelanggan yang terjejas termasuk menjawab segera sebarang aduan dan pertanyaan yang disebabkan oleh gangguan tersebut serta memberikan maklumat terkini mengenai perkhidmatan yang terjejas,” katanya.
Bank pusat berkata ia menghendaki semua institusi perbankan untuk memastikan tahap ketersediaan perkhidmatan perbankan yang kukuh pada setiap masa.
“BNM akan mempertimbangkan tindakan penyeliaan atas bank-bank yang tidak memenuhi kehendak pengawalan dan penyeliaan,” katanya.
Pada 4.14 petang, 8 April, CIMB Group Holdings Bhd menerusi hantaran dalam di X berkata, bank itu mengalami gangguan perkhidmatan berkala melibatkan CIMB Clicks, CIMB OCTO, FPX, MyDebit, Terminal Kredit dan Layan Diri.
Pada 7.10 malam hari yang sama, bank itu mengumumkan semua perkhidmatannya kembali pulih.
Sementara itu, Maybank dalam satu hantaran di X hari ini memaklumkan ia mengalami gangguan yang menjejaskan perkhidmatan kad debit, perbankan dalam talian dan ATM sekitar 9.20 malam 5 April.
Maybank berkata perkhidmatan yang terjejas itu kembali beroperasi seperti biasa secara berperingkat dan pulih sepenuhnya pada 11.34 malam hari yang sama.