Samun RM242,000 guna pisau pemotong kertas, 2 rakan didakwa

Samun RM242,000 guna pisau pemotong kertas, 2 rakan didakwa

Tertuduh berusia 33 dan 35 tahun mengaku tidak bersalah kerana samun wang tunai pelbagai mata wang.

C Sureshkumar, 33, dan N Siralan, 36, dibenar ikat jamin RM7,000 dengan sebutan semula kes pada 27 Mei. (Gambar Pexel)
KUALA LUMPUR:
Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen ini terhadap pertuduhan menyamun seorang lelaki dengan wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM242,422 menggunakan pisau pemotong kertas, Isnin lalu.

C Sureshkumar, 33, dan N Siralan, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mereka didakwa melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas terhadap J Melvin Dass, 36, dengan merampas beg galas syarikatnya yang mengandungi wang tunai di sebuah pejabat di kawasan Brickfields pada 11.30 pagi, 1 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh, namun peguam Calvin Lim Sin Guan yang mewakili Sureshkumar dan peguam Charanpal Singh yang mewakili Siralan merayu jaminan minimum kerana kedua-dua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.