Saman fitnah: Mahkamah dengar permohonan Apandi benar rayuan 14 Mei

Saman fitnah: Mahkamah dengar permohonan Apandi benar rayuan 14 Mei

Apandi Ali memfailkan permohonan pada 1 Dis lepas, setelah rayuannya berhubung saman RM10 juta terhadap Lim Kit Siang ditolak Mahkamah Rayuan.

Apandi Ali memfailkan saman terhadap Lim Kit Siang pada 2019 berhubung artikel mengenai skandal 1MDB yang dikatakan mengandungi kata-kata fitnah terhadap dirinya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 14 Mei untuk mendengar permohonan bekas peguam negara Apandi Ali mendapatkan kebenaran meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman RM10 jutanya terhadap Lim Kit Siang.

Tarikh pendengaran kes itu disahkan oleh peguamnya, M Visvanathan.

Apandi memfailkan permohonan itu pada 1 Dis lepas, apabila rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2 Nov lepas.

Beliau mahu Mahkamah Persekutuan membuat ketetapan mengenai lima persoalan undang-undang.

Samannya terhadap Lim berhubung artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (IMDB) ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mei 2022.

Dalam samannya yang difailkan pada 2019, Apandi mendakwa, pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan menyebabkan terbitnya artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” di portal Malaysiakini.

Apandi mendakwa, kata-kata fitnah dalam artikel itu membayangkan bahawa beliau terlibat dengan jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika dan menyalahgunakan kuasanya semasa menjadi peguam negara.

Apandi, yang memegang jawatan peguam negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 berhujah bahawa perkataan-perkataan fitnah itu tidak benar, dan disiarkan dengan niat mencemarkan imej dan kredibilitinya untuk publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan, RM10 juta sebagai ganti rugi am, injunksi untuk menghalang Lim dan/atau ejennya menerbitkan semula perkataan yang didakwa berunsur fitnah itu, dan relif lain yang didapati sesuai oleh mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar (kini hakim Mahkamah Rayuan) ketika menolak saman Apandi memutuskan bahawa Lim berjaya mewajarkan keistimewaan bahawa beliau layak membuat kenyataan itu kerana skandal 1MDB melibatkan jenayah dan undang-undang.

Skandal itu turut memberi kesan kepada sosial dan ekonomi negara, serta menyebabkan timbulnya persoalan mengenai akhlak pemimpin dan agensi tertinggi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.