MBKT arah kompleks beli-belah, pasar raya tutup 1 Syawal

MBKT arah kompleks beli-belah, pasar raya tutup 1 Syawal

Datuk Bandar Kuala Terengganu Rosli Latiff berkata premis makanan segera, kedai 24 jam dan yang berkaitan diarah tutup hingga 1 tengah hari.

Rosli Latiff berkata penutupan premis perniagaan di sekitar Kuala Terengganu pada hari pertama Aidilfitri bertujuan menghormati Syawal dan pekerja Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan semua kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar di bawah kawasan seliannya ditutup sepenuhnya pada 1 Syawal ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latiff berkata premis makanan segera, kedai runcit 24 jam, kedai serbaneka seperti 7 Eleven, Trealeaf Mart, DIY, Eco Shop dan berkaitan pula diarah tutup dari 12 tengah malam hingga 1 tengahari.

“Penutupan premis perniagaan ini bertujuan menghormati Syawal dan pekerja Islam.

“Kami memohon kerjasama semua pengusaha dan pemilik pasar raya bagi memastikan tiada sebarang aktiviti perniagaan pada sambutan Aidilfitri,” katanya menurut Berita Harian.

Mengenai operasi kedai runcit dan kedai makan bukan Islam, Rosli berkata, peniaga dan pengusaha bukan Islam digalakkan menutup premis perniagaan sehingga jam 1 tengah hari pada 1 Syawal.

“Pemilik premis dan pengusaha perniagaan beragama Islam yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan, termasuk pembatalan lesen perniagaan,” katanya.

Rosli berkata notis berkaitan arahan itu sudah diedarkan kepada pengurusan dan pemilik gedung perniagaan, selain makluman melalui pelbagai laman sosial termasuk Facebook MBKT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.