
Katanya, pertuduhan akan dikenakan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Suspek mungkin dituduh seawal Jumaat ini,” katanya kepada Berita Harian.
Pada 27 Mac, lelaki Israel itu ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang mana polis menemukan senjata dan peluru kononnya untuk digunakan untuk membunuh lelaki senegara atas alasan perseteruan.
Enam senjata api yang ditemukan dalam bilik hotel suspek ialah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Suspek masuk ke negara ini selepas menggunakan pasport sah Perancis melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun siasatan polis membawa kepada pengakuan dirinya juga merupakan warga Israel.
Susulan itu, polis melancarkan operasi dan berjaya menahan empat individu termasuk dua wanita di Skudai dan Gelang Patah, Johor, dan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di Kuala Selangor.
Selain itu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di Cameron Highlands, Pahang turut ditahan kerana dipercayai menjadi pemandu kepada lelaki Israel terbabit.
Hari ini, suami isteri itu yang dipercayai membeli senjata api di Thailand untuk dijual kepada warga Israel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan memiliki senjata api secara haram.
Bagaimanapun, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar, menurut Harian Metro.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Fazeedah Faik tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah Akta Senjata Api penalti lebih berat adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
Sharifah Faraha didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, iaitu penjara maksimum 14 tahun.
Manakala, Abdul Azim pula didakwa didapati ada bersama dengan Syarifah Faraha yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia mengetahui bahawa isterinya memiliki senjata api menyalahi undang-undang di alamat, tarikh dan masa yang sama.
Pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun untuk sebutan kes.