
MOF dalam kenyataan, memaklumkan selain itu bayaran RM103.1 juta diberikan kepada kerajaan Terengganu untuk obligasi kerajaan negeri kepada kontraktornya.
Menurut kenyataan itu, sebarang baki wang ihsan akan tetap digunakan untuk Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.
“Kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri.
“Ini dicerminkan melalui peningkatan pemberian kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri serta peruntukan pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024,” menurut kenyataan itu.
MOF juga memaklumkan pemberian negeri disalurkan kepada semua negeri secara serentak setiap bulan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kenyataan sama, menyebut kerajaan Madani komited memastikan bahawa wang ihsan dikhususkan untuk manfaat Terengganu dan Kelantan dengan keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat kedua negeri.
“Kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan serta cadangan daripada kerajaan Terengganu dan Kelantan berhubung penggunaan wang ihsan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat Terengganu dan Kelantan,” kata Anwar yang juga menteri kewangan.
Menurut kenyataan itu, tahun lalu, wang ihsan petroleum sebanyak RM786 juta disalurkan kepada Terengganu dan RM200 juta kepada Kelantan oleh kerajaan Madani.
MOF menjelaskan pemberian wang ihsan bukan merupakan pemberian kerajaan persekutuan yang termaktub dalam undang-undang.