Jangan tergesa-gesa, perlu teliti sebelum pinda RUU 355, kata mufti P Pinang

Jangan tergesa-gesa, perlu teliti sebelum pinda RUU 355, kata mufti P Pinang

Kelmarin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan membentangkan segera pindaan RUU 355 bagi mengelakkan semua pihak menanggung dosa.

Wan Salim Wan Mohd Noor berkata pindaan RUU 355 perlu mengambil kira kemampuan pelaksanaannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pembentangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 perlu dibuat secara berhemah dan tidak tergesa-gesa supaya adil kepada semua, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Mengulas gesaan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menggesanya dibentangkan segera bagi mengelakkan semua pihak menanggung dosa, Wan Salim menjelaskan masa perlu diambil antaranya untuk mengetahui kemampuan pelaksanaannya.

Beliau menjelaskan walaupun syariat Islam wajib dilaksanakan secara menyeluruh dalam aspek kehidupan namun ia turut bergantung kemampuan dan kesediaan pelaksanaan supaya tidak membebankan suatu taklif (kewajipan) ke atas seseorang melainkan mengikut kekuasaannya.

“Pembentangan RUU 355 tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa, tetapi perlu dikaji di segenap segi.

“Sekiranya syariah tidak mampu dilaksanakan sepenuhnya dengan segera maka hendaklah secara berperingkat,” katanya kepada FMT sambil meminta semua pihak menunggu hasil libat urus dan kajian perundangan.

“Langkah sedemikian adalah perlu untuk memastikan supaya syariah (undang-undang Islam) di Malaysia akan dilaksanakan secara adil dan saksama ke atas seluruh rakyat jelata.”

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang menggesa kerajaan membentangkan RUU 355 dalam masa terdekat bagi mengelakkan semua pihak menanggung “dosa” apabila tidak menjalankan bidang kuasa tersebut.

Menurut Ketua Pemuda Bersatu itu, pindaan tersebut penting bagi mengembalikan kedudukan Mahkamah Syariah selepas kuasanya dicabar oleh beberapa pihak.

Gesaan Wan Fayhsal itu susulan kenyataan Majlis Perundingan Agama, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang dilaporkan berkata cadangan pindaan Akta 355 tidak berperlembagaan dan bertentangan struktur asas Perlembagaan.

Majlis itu beranggapan kesalahan jenayah berkaitan sudah termasuk dalam undang-undang jenayah sedia ada, sebagaimana disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu ditegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar yang berkata pandangan MCCBCHST berkait RUU 355 mengelirukan dan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Pada 18 Feb lalu, Na’im berkata Akta 355 dijangka dibentang di Parlimen tahun ini, selepas sesi libat urus dengan semua pemegang taruh agama di setiap negeri selesai.

RUU 355 diluluskan Jabatan Peguam Negara pada 7 Okt 2022 dan sepatutnya dibentangkan pada sidang Parlimen hujung bulan itu yang bagaimanapun terbantut akibat pembubaran Parlimen.

Penggubalan semula Akta 355 hasil Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 akan menyeragamkan kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.