Cabul 3 remaja lelaki, jurulatih bola sepak mengaku tak salah

Cabul 3 remaja lelaki, jurulatih bola sepak mengaku tak salah

Tertuduh berusia 27 tahun dikatakan mengajak mangsa berusia 14 dan 15 tahun ke rumahnya untuk 'mengukur jersi' sebelum mengambil kesempatan.

Tertuduh, Muhammad Fikri Mohd Yazid, 27, mengaku tidak bersalah atas keempat-empat tuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh di Mahkamah Majistret Muar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang jurulatih bola sepak sambilan mengaku tidak bersalah hari ini atas empat tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga remaja lelaki di Muar pada Februari.

Tertuduh, Muhammad Fikri Mohd Yazid, 27, membuat pengakuan tersebut setelah kesemua tuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh.

Menurut keempat-empat tuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap tiga pelajar berusia 14 dan 15 tahun di sebuah rumah dekat Jalan Temenggong Ahmad antara 7 hingga 10 pagi pada 5 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14, dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Menurut Seksyen 14, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Berita Harian.

Terdahulu, mahkamah tidak menawarkan jaminan bagi tertuduh memandangkan kes ini bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 April untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Menurut laporan mangsa, tertuduh dikatakan mengajak mereka, yang juga pemain bola sepak sekolah, datang ke rumah pada hari kejadian kononnya untuk mengukur jersi. Sebaliknya, tertuduh dikatakan mengajak pelajar-pelajar tersebut ke rumahnya dengan niat mahu mengambil kesempatan.

Mangsa kemudian mengadukan perkara tersebut kepada guru kaunseling sebelum membuat laporan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.