4 ditahan bergaduh dalam kasino

4 ditahan bergaduh dalam kasino

Polis berkata pergaduhan melibatkan 10 lelaki tempatan dan saki-baki individu terlibat masih diburu.

Tangkap layar video kejadian pergaduhan di sebuah kasino di Genting Highlands.
KUANTAN:
Empat lelaki tempatan ditahan disyaki terlibat dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan di sebuah kasino di Genting Highlands kelmarin.

Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima maklumat pergaduhan melibatkan lebih kurang 10 lelaki warga tempatan berusia 23 hingga 50 tahun kira-kira 4 pagi.

“Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati punca kejadian pergaduhan adalah salah faham antara mereka yang berada dalam kasino tersebut.

“Keempat-empat suspek ditahan reman selama dua hari bermula 7 hingga 8 April bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata semua yang ditahan telah dihantar ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan di beberapa anggota badan berpunca daripada pergaduhan itu.

Pihak polis juga sedang mengesan saki-baki mereka yang terlibat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.