
Mengulas tindakan memindahkan guru berkenaan sebelum ini, Nayagm yang juga pengerusi Persatuan Kebajikan Suriana berkata tindakan memindahkan guru bermasalah ke sekolah lain tidak menghentikan salah laku daripada berulang.
Tindakan seperti itu sepatutnya tidak dilakukan, katanya kepada FMT.
“Beliau sepatutnya digantung tugas serta merta selepas terdapat laporan awal (pada Disember), bukannya dipindahkan. Setiap kali berlaku kes penganiayaan atau salah laku, Kementerian Pendidikan memindahkan guru terbabit, mungkin ke sekolah pedalaman,” katanya.
“Jadi sekolah berkenaan akan menerima guru yang disyaki melakukan salah laku atau jenayah. Kejadian itu mungkin berlaku lagi,” tambahnya.
Nayagam juga mencadangkan guru terbabit diarah bertugas di bahagian pentadbiran dan dihantar menjalani kaunseling.
Guru terbabit juga perlu sering melapor diri ke kementerian untuk memaklumkan perkembangan mereka, aktiviti atau maklumat berkaitan, katanya.
Tugas mengajar hanya dikembalikan semula selepas terbukti mereka berkelakuan baik, tambahnya.
Kementerian Pendidikan pada Jumaat lalu berkata, guru terbabit digantung tugas sehingga siasatan terhadap isu tersebut selesai.
Menterinya Fadhlina Sidek juga berkata pelajar berkenaan diberi sokongan psikologi dan perlindungan mengikut garis panduan kementerian.
Isu itu mula menjadi perhatian selepas kakak pelajar berkenaan mendakwa di media sosial X, guru wanita berkenaan sering bertemu dengan adiknya walaupun dilarang berbuat demikian.
Dalam satu hantaran, kakak pelajar itu berkata ibunya membuat laporan polis dan ke Pejabat Pendidikan Daerah, dan ini menyebabkan guru berkenaan dipindahkan ke sekolah lain.
Bagaimanapun, wanita itu mendakwa guru berkenaan dan adiknya terus berhubung malah mereka turut bertemu secara rahsia di tepi pantai. Hantaran itu kemudiannya dipadamkan.
Nayagam bagaimanapun menjelaskan guru itu tidak melakukan sebarang jenayah kerana tindakan itu atas persetujuan bersama.
Katanya, walaupun berlakunya hubungan seksual, ia tidak termasuk dalam skop Seksyen 375 Kanun Keseksaan iaitu rogol bawah umur kerana ia hanya terpakai untuk pesalah lelaki.
Pesalah wanita tidak termasuk dalam mana-mana peruntukan.
Bagaimanapun, Pengarah My Protector Malaysia Roland Edward berkata walaupun tiada dalam mana-mana peruntukan undang-undang, guru berkenaan tetap dianggap pedofilia.
“Mengikut Perkara 1 Konvensyen PBB, sesiapa di bawah 18 tahun dianggap kanak-kanak, Jadi ia tidak kira bagaimana matangnya atau berfikiran ke hadapannya mereka,” kata Edward kepada FMT.
Beliau turut menggesa perlunya proses tapisan menyeluruh guru sebelum mereka dilantik untuk mengelak kejadian serupa berlaku lagi.
“Mesti ada mekanisma penilaian terhadap guru kita. Kita tidak boleh menghantar guru tidak sesuai ke sekolah, merisikokan keselamatan generasi muda kita kerana isu seperti ini agak mendatangkan trauma,” katanya.
Edward menggesa Kementerian Pendidikan menubuhkan satu jawatankuasa khas disertai pelbagai pemegang taruh, termasuk NGO hak asasi manusia dan pertubuhan masyarakat, bagi membangunkan satu mekanisma penilaian bagi guru.