
Kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan berkata gerakan itu mengajak seluruh rakyat negara ini mengangkat amalan memohon dan memberi kemaafan, yang terkandung dalam semua ajaran termasuk agama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme, dan orang asal di Sabah serta Sarawak.
“Jika kita segan mohon maaf, maka pembinasaan yang kita lakukan, sama ada berniat atau tidak, kerana kejahatan mahupun kekhilafan, tak kira besar atau kecil, akan berkekalan dan merosakkan hubungan dan silaturahim antara insan,” menurut kumpulan itu.
Kenyataan bersama itu ditandatangani 18 CSO termasuk Projek SAMA, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), G25, Architect of Diversity (AOD), Muslim Professional Forum (MFP) dan Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN).

Turut serta, Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Pertubuhan Naratif Malaysia (Naratif) dan Kuala Lumpur Residents’ Action Plus for Sustainable Development.
Mereka berkata jika amalan memohon maaf tidak diamalkan, ia akan mengakibatkan kemudaratan yang lebih besar, sama ada secara sengaja atau tidak termasuk menghancurkan hubungan antara satu sama lain.
“Apabila kita memaafkan seseorang, ini tidak bermakna kita menjadi lebih lemah dan tanpa disedari menggalakkan lebih banyak pelanggaran (undang-undang) dan kesilapan. Juga bukan mengenai berkompromi kedaulatan undang-undang.
“Apabila pelanggaran itu adalah satu kesalahan undang-undang, pesalah masih perlu menghadapi perbicaraan dan hukuman.
“Pengampunan dan pengurangan hukuman hanya berlaku apabila banduan menyedari kesalahannya, mengaku salah, membuat pembayaran balik dan/atau berusaha untuk tidak mengulangi pelanggaran itu,” katanya yang turut menyatakan mereka yang ingin menyertai gerakan itu boleh mendaftar di https://forms.gle/uH1kYsp2iNYxRFKw9.
Keharmonian masyarakat majmuk dilihat terjejas mutakhir ini susulan beberapa isu melibatkan kesucian agama Islam, dengan terbaharu melibatkan kontroversi penemuan stoking tertera kalimah Allah di sebuah kedai serbaneka KK Super Mart.
Kelmarin, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh diambil keterangan susulan dua laporan diterima berkaitan ucapan dan tindakannya berhubung kontroversi itu.
Keterangan Akmal diambil di tengah-tengah desakan memboikot KK Mart, yang mana rangkaian kedai serbaneka itu menjadi tumpuan kontroversi ekoran penemuan stoking tertera kalimah Allah itu.
Adun Merlimau itu berterusan mempertahan desakan itu walaupun pengasas KK Mart, KK Chai telah mengemukakan permohonan maaf, selain beliau dan pengarah, Loh Siew Mui, sedang berdepan pertuduhan mahkamah.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga bertitah supaya semua pihak tidak memanjangkan lagi kontroversi berkenaan.
Sejak boikot bermula, tiga cawangan KK Mart – di Bidor, Perak; Sungai Isap, Kuantan, Pahang; dan Kuching, Jalan Satok, Sarawak – telah diserang bom petrol namun tiada mana-mana dikenakan tindakan setakat ini.