Jangan paranoid, bukan semua hal cabar Islam, kata Wan Fayhsal

Jangan paranoid, bukan semua hal cabar Islam, kata Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu tidak bersetuju sikap emosi melulu umat Islam dalam isu logo kasut mirip kalimah Allah.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal anggap isu logo kasut keluaran Vern’s tidak jelas dan ‘samar-samar’.
PETALING JAYA:
Pemimpin Bersatu membidas sikap orang Islam sering berfikir secara paranoia sehingga ke tahap semua hal dianggap mencabar Islam, susulan isu logo kasut mirip kalimah Allah.

Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata isu dibangkitkan merujuk logo keluaran syarikat tempatan itu dianggap “samar-samar” memberi imej buruk kepada Islam.

“Ini masalah bila ada orang Islam yang tidak memahami prinsip fiqh ‘Amr Ma’ruf wa Nahy ‘an al-Munkar’ (berbuat baik dan mencegah mungkar). Benda mungkar yang nak dicegah itu mestilah jelas dan terang dari segi kesalahan.

“Bukan perkara sama-samar…,” kata Ahli Parlimen Machang itu dalam X.

Beliau berkata, tidak seperti isu stoking tertera kalimah Allah yang jelas mungkar.

“Macam kes stokin tertera kalimah Allah di KK Mart itu jelas munkar, tapi dalam kes kasut jenama Vern’s ini ianya jelas tidak menunjukkan kesalahan syarak,” tegasnya.

Katanya, tindakan orang Islam mestilah berlandaskan ilmu dan bukan emosi melulu.

Hari ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata pihak polis menerima lapan laporan di seluruh negara berkaitan isu tersebut.

Sehubungan itu satu kertas siasatan dibuka bagi menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pihak pengurusan syarikat itu juga sudah membuat permohonan maaf di atas logo kasut tumit tinggi berkenaan.

Katanya, logo tersebut diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.