
Azman berkata, pihaknya tidak perlu menjawab Pengerusi Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abd Fasal berhubung perkara itu.
“Biarlah beliau (Syed Abu Hussin Hafiz) buat komen. Bagi saya, biar menteri saja yang jawab … konsisten,” katanya merujuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, lapor Berita Harian.
Syed Abu Hussin Hafiz dilaporkan berkata semalam, Naccol percaya tidak timbul isu sabotaj pengedaran bekalan beras di negara ini jika Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara mengambil tindakan tegas terhadap kartel dalam industri terbabit.
Beliau mendakwa, rasa takut untuk mengambil tindakan terhadap kartel menyebabkan rakyat menjadi mangsa manipulasi, sedangkan bekalan beras negara terdiri daripada 60% beras tempatan dan hanya 40% beras import.
Sebelum ini dilaporkan bahawa BPT masih tidak tersedia di pasaran, walaupun setelah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkannya diedar ke seluruh negara.
Terdahulu, Naccol berkata, pihaknya akan menghantar laporan bertulis kepada ketua setiausaha negara (KSN) agar tindakan diambil terhadap pegawai kerajaan yang gagal patuh arahan perdana menteri berkait isu pengedaran BPT.
Syed Abu Hussin ketika itu meminta ketua pengarah kawal selia padi dan beras “menjawab” 14 juta kampit BPT yang “tidak kunjung tiba” di pasaran.