Bekas pekerja KAHB terima pampasan daripada MBI

Bekas pekerja KAHB terima pampasan daripada MBI

Seramai 20 pekerja yang diberhentikan setelah KAHB tamat operasi itu menerima pampasan antara RM6,000 hingga RM30,000.

Semalam, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mengumumkan penamatan operasi KAHB yang menurutnya, ‘tidak berdaya maju’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seramai 20 bekas pekerja Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) menerima pampasan antara RM6,000 hingga RM30,000 susulan pengumuman penamatan operasi syarikat itu oleh Menteri Besar Sanusi Nor semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah Zafir Annuar Ghazali berkata, bayaran faedah notis penamatan perkhidmatan itu dibuat berdasarkan kontrak perkhidmatan masing-masing.

Katanya, pembayaran tersebut ialah pelaksanaan janji yang telah dipersetujui antara MBI dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada perbincangan di Mahkamah Perusahaan pada 2 April.

“Saya telah memenuhi janji saya untuk membayar pampasan yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya ketika menyampaikan cek kepada bekas pekerja KAHB di Wisma Darul Aman, lapor Berita Harian.

“Insya-Allah, dalam masa dua hingga tiga bulan akan datang, tuan-tuan akan menerima gaji tunggakan seperti yang diminta.”

Zafir berkata, pihaknya juga akan berusaha mendapatkan pekerjaan baharu bagi 20 bekas pekerja itu sebagai tanda keprihatinan MBI.

“Selepas ini saya akan berbincang dengan anak syarikat atau kumpulan ladang Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) contohnya untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas kakitangan (KAHB),” katanya.

Semalam, Sanusi mengumumkan penamatan operasi KAHB, yang sebelum ini berdepan masalah membayar tunggakan gaji 24 pekerja, kerana “tidak berdaya maju”.

Sebahagian kakitangan syarikat itu turut ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 31 Mac.

Menurut Sanusi, kerajaan negeri kekal dengan keputusan untuk tidak menyelamatkan syarikat yang bergelut dengan masalah kewangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.