
Malah, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menegaskan beliau masih tetap turun padang beri khidmat kepada rakyat walaupun digantung keahlian.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata beliau tetap memperuntukan masa dan tenaga serta membelanjakan wang untuk membantu rakyat walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam parti atau menjadi wakil rakyat lagi.
“Lebih aktif berbanding sesetengah wakil rakyat yang ada, soal penggantungan keahlian bukan suatu masalah.
“Dia (Razlan) tidak tahu apa dia cakap. Cuma nak menuduh saya tiada sumbangan kepada parti mahupun kepada Presiden Umno Zahid Hamidi,” katanya ketika dihubungi FMT.
Tajuddin mengulas kenyataan Razlan yang mempersoalkan agenda beliau yang bersuara secara tiba-tiba selepas ‘hilang dari radar’ sejak digantung keahliannya lebih 18 bulan lalu.
Razlan juga bertanya apakah sumbangan Tajuddin sebelum dan selepas PRU15 serta mendakwa bekas MKT Umno itu tidak berbuat apa-apa untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada parti.
Beliau berkata demikian selepas Tajuddin mendakwa pemimpin Umno mengalami ‘sindrom bisu’ kerana tidak berani bersuara dalam isu nasional.
Sambil menyifatkan Razlan sebagai “budak baru”, Tajuddin berkata beliau pernah membantu memenangi kerusi Parlimen Pasir Salak selama tiga penggal sepanjang hampir 50 tahun bersama Umno selain pernah memegang jawatan ahli MKT dan juga ketua bahagian.
“Setiap pilihan raya saya komited bantu parti untuk menang. Begitu juga dengan rakan di kawasan lain. Bukankah itu sumbangan kepada parti? Saya tak perlu umumkan semua,” katanya.
Tambahnya, wujud keperluan untuk pemimpin Umno “sedar” dan mencuba sedaya upaya yang mungkin membantu menyelesaikan isu yang perlu diberi tumpuan seperti yang dijanjikan.
“Saya cuma cakap benda betul…tahu payah nak terima,” katanya.
Pada Okt 2022, keahlian Tajuddin dalam Umno digantung selama enam tahun selepas secara terbuka mengkritik Umno berikutan penyingkirannya sebagai ahli MKT pada Jun tahun yang sama.
Tajuddin juga menggesa Zahid meletakkan jawatan. Rayuannya ditolak MKT pada 5 Jan tahun lalu.