Naikkan harga lantai belian padi untuk lindungi petani, saran LPP

Naikkan harga lantai belian padi untuk lindungi petani, saran LPP

Menurut LPP, dengan cara ini, pengilang tidak dapat membeli padi bawah harga lantai yang ditetapkan.

Harga siling belian padi juga perlu ditetapkan bagi mengelak ketidaktentuan dan manipulasi berterusan terhadap harga padi di pasaran tempatan, kata LPP.
ALOR SETAR:
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meminta kerajaan menaikkan harga lantai dan menetapkan harga siling belian padi untuk mengatasi isu berkaitan beras.

Pengerusi LPP Mahfuz Omar berkata, harga lantai belian padi perlu dinaikkan untuk melindungi petani,agar pengilang beras tidak dapat membeli padi bawah paras harga lantai ditetapkan.

Selain itu, katanya, harga siling belian padi perlu ditetapkan bagi mengelak ketidaktentuan dan manipulasi berterusan terhadap harga padi di pasaran tempatan, yang seterusnya memberi kesan kepada harga dan bekalan beras.

“Kami di LPP melalui Majlis Penasihat Peladang membabitkan wakil-wakil (setiap) kerajaan negeri telah membuat resolusi dan dah angkat kepada menteri untuk melihat masalah ini yang merupakan satu rantaian bermula dari benih, padi kepada beras.

“Kita mencadangkan harga lantai belian padi dinaikkan, harga lantai ini untuk melindungi petani, kilang tak boleh beli bawah harga tersebut, iaitu harga untuk kehidupan dan keuntungan petani,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani Mega Raya LPP Kedah.

Selain itu, Mahfuz berkata, pihaknya turut mencadangkan kerajaan supaya menetapkan harga siling bagi beras import untuk mengelakkan manipulasi beras dalam pasaran.

“Bila tak ada harga siling, ia akan menyebabkan pengilang-pengilang memanipulasi bekalan,” katanya.

“Mereka salin beras tempatan untuk buat beras import, beras dicampur dan sebagainya, jadi kita minta adakan harga siling beras import,” katanya.

Pada Oktober tahun lepas, kerajaan mengumumkan peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 satu tan berbanding RM1,200, kadar yang ditetapkan sejak 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.