Jalan rosak sukar jentera bomba masuk, 14 rumah hangus di Nabawan

Jalan rosak sukar jentera bomba masuk, 14 rumah hangus di Nabawan

Bomba berkata laluan ke lokasi mencabar kerana curam, selain jalan rosak dan tidak berturap.

Kebakaran 14 rumah itu turut memusnahkan dua kediaman PPRT, dalam kejadian di Kampung Tikandis, pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Jalan rosak, sempit serta tidak berturap menyukarkan jentera bomba masuk ke Kampung Tikandis, Nabawan, membawa kepada 14 rumah hangus termasuk dua kediaman Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Komander Operasi Balai Bomba Sook, Shellverinus Julius berkata, dua jentera bersama sembilan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian susulan menerima panggilan kecemasan, pada 9.16 pagi tadi.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan 14 rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya termasuk dua rumah PPRT dengan anggaran keluasan kebakaran 700 meter persegi.

“Operasi memadam dijalankan menggunakan satu aliran, satu pancutan menggunakan pam mudah alih,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, operasi dilaporkan terkawal pada 11.30 pagi dan usaha memadam bara api masih dijalankan.

Mengulas kesukaran jentera masuk ke lokasi, beliau menambah laluan ke lokasi juga curam dan jenis tanah merah licin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.