
Nurul Shakina Abdullah, pemegang pingat emas Sukan Sea Paralimpik 2003 dalam acara renang, antara penerima bantuan dari Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berkenaan jelas terharu dengan sumbangan diterima.
Katanya, bantuan itu dapat membantunya menyediakan kelengkapan Aidilfitri yang bakal disambut minggu depan dan lebih manis disempurnakan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Terharu sebab mereka panggil (hadir majlis), sebelum ini (saya) pergi program biasa sahaja,” katanya yang kini menampung kehidupan sebagai pemuzik jalanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Bekas jaguh badminton negara, Rashid Sidek teruja dengan keberangkatan pasangan Diraja ke majlis itu untuk menghargai bekas atlet negara yang bertungkus lumus mengharumkan nama negara.
“Inilah masa membalas balik jasa dan pengorbanan yang telah atlet buat untuk negara,” kata pemenang Piala Thomas 1992 yang kini melatih atlet badminton Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Bukan sahaja atlet, FMT dan dermawan terbabit sebelum ini menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada penggiat seni memerlukan yang bernaung di bawah Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
“Terima kasih FMT kerana tidak putus-putus memberi pertolongan kepada Karyawan dan artis tanah air,” kata vokalis Blues Gang, Ito Mohd atau nama sebenarnya Mohd Arif Kendut.
Ito, 73 yang sedang membuat persiapan konsert tahunan Blues Festival di Langkawi itu berkata, usaha FMT dan Karyawan harus dicontohi pihak lain.
Usaha itu turut disambut baik penyanyi legenda, Uji Rashid, 71, yang menyarankan program sebegitu diadakan lebih kerap dan tidak hanya setahun sekali.
“Tak semua yang tak bernasib baik ada di sini sekarang. Kalau artis itu dipilih, saya fikir yang mana tak dipilih itu akan kecil hati,” ujarnya.