
Hussein berkata, lelaki tersebut dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan persekitaran pusat beli belah itu.
“Polis telah menjumpai pemilik atau orang membawa beg daripada apartment melalui CCTV dan juga beberapa keterangan pihak lain, kita juga perolehi tujuh cap jari daripada beg bagasi.
“Pihak polis masih meneruskan siasatan dan akan memanggil beberapa lagi saksi untuk kukuhkan keterangan diberi penama yang datang menuntut bagasi itu termasuk sumber kewangannya,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas kempen keselamatan jalan raya sempena perayaan Aidilfitri 2024 dan majlis berbuka puasa bersama petugas polis dan konsesi lebuhraya di kawasan rehat Elmina Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway (GCE) Arah Utara.
Hussein berkata, bagasi itu akan diserahkan kepada pemiliknya selepas polis berpuas hati dengan keterangan diberikan.
“Kita akan turut panggil beberapa saksi lain sahkan keterangan dia, baru boleh buat keputusan. Kertas siasatan juga perlu dirujuk kepada pejabat pendakwa raya untuk dapatkan persetujuan.
“Setelah polis puas hati pemilikan sebenar daripada mereka yang datang menuntut dan sumber mereka, barulah beg itu akan dikembalikan kepada pemilik,” katanya.
Bagasi itu ditemui seorang pengawal keselamatan pada 20 Mac, yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah itu.