Surat layang: SPRM ambil fail FAM

Surat layang: SPRM ambil fail FAM

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata siasatan bermula sejak dua hari lalu.

SPRM ambil beberapa fail daripada FAM susulan surat layang yang tular baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil beberapa fail daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), susulan surat layang yang terkandung antara lain dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata proses siasatan bermula sejak dua hari lalu selepas mendapat aduan awam.

“Kebanyakan isu yang disebut tersebut berkaitan hal pentadbiran, maka SPRM tidak akan meneliti perkara tersebut.

“Sebaliknya, SPRM hanya akan membuat siasatan terhadap dakwaan isu jenayah,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut, menurut Sinar Harian.

Pada Ahad lalu, tular surat layang di media sosial menuduh FAM terbabit dalam penipuan, salah guna kuasa, menyeleweng dana, dan isu berkaitan skuad Harimau Malaya dan projek pusat latihan kebangsaan, lapor Bernama.

Presiden FAM, Hamidin Amin, menolak tuduhan dalam surat layang berkenaan yang dianggap sebagai fitnah, dan mempertimbangkan untuk membuat laporan polis.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata beliau yakin SPRM akan melihat isu-isu yang dibangkitkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.