
Dalam membuat desakan itu, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin kecewa kerana beberapa rang undang-undang (RUU) persendirian berkaitan isu berkenaan dibawa Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat, ditolak dan dibiarkan begitu sahaja.
“Undang-undang persendirian kita sudah bawa di beberapa sesi Parlimen (tetapi) masih lagi kekal di situ dan tidak diambil peduli oleh kerajaan,” katanya.
“Penting hari ini ialah kita kena ada suatu garisan yang jelas yang mana boleh dan tak boleh, mana boleh cakap mana tak boleh, mana tindakan boleh dan tak boleh,” kata Hamzah dalam temu bual dengan FMT.
Beliau yang juga ketua pembangkang berkata, kerajaan perlu mempamerkan keseriusan dalam memastikan perundangan negara lengkap melindungi kesucian Islam dalam setiap keadaan selain mencakupi hukuman setimpal.
Katanya, Bersatu menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk semua pihak memastikan kejadian seperti jualan stoking kalimah Allah tidak berulang dan tindakan tegas diambil terhadap pihak disabit kesalahan.
Bersatu turut menyifatkan titah baginda tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan dan memberi laluan kepada pihak berkuasa dan proses perundangan berjalan sebagaimana ditetapkan.
Pada 8 Jun tahun lalu, Dewan Rakyat menolak usul persendirian dibawa Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail membabitkan RUU Tafsiran Pindaan Akta 388 bagi mengawal makna kalimah Allah daripada disalah tafsir.
Lapan tahun lalu, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Hadi Awang, mengemukakan pindaan kepada RUU 355 sebagai RUU persendirian.
Pindaan tersebut bertujuan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan syariah dengan meningkatkan had hukuman maksimum Mahkamah Syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000, dan 100 sebatan rotan.
Pada masa itu, had tersebut adalah hukuman penjara selama tiga tahun, denda RM5,000, dan enam sebatan rotan.
Februari lalu, media melaporkan sesi libat urus mengenai RUU 355 kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dipetik mengesahkan sesi libat urus tersebut yang dikendalikan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berada di peringkat akhir.