
“Saya rasa bukan tangkapan, dia dipanggil disiasat,” katanya kepada pemberita.
Anwar juga mengingatkan orang awam tidak menggunakan kontroversi berkait penemuan stoking tertera kalimah Allah untuk menghasut, sambil menyatakan kerajaan tidak akan berkompromi perkara menyentuh 3R (kaum, agama, dan institusi diraja).
“Tidak peduli siapa dia…kedudukan dia, parti mana, jangan diugut sekiranya diambil tindakan. Apalagi kalau menyentuh 3R.”
Pagi tadi, Akmal berkata beliau ditahan di IPK Kota Kinabalu walaupun dijadual memberi kenyataan di Balai Polis Dang Wangi, esok.
Susulan itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata polis menerima dua laporan berkait kenyataan Akmal berhubung isu stoking berkenaan dan menyatakan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan rangkaian.
Keterangan Akmal diambil di tengah-tengah desakan memboikot KK Mart, yang mana rangkaian kedai serbaneka itu menjadi tumpuan kontroversi ekoran penemuan stoking tertera kalimah Allah di satu cawangannya di Bandar Sunway.
Adun Merlimau itu berterusan mempertahan desakan itu walaupun pengasas KK Mart, KK Chai telah mengemukakan permohonan maaf, selain beliau dan pengarah, Loh Siew Mui, sedang berdepan pertuduhan mahkamah. Yang di-Pertua Agong juga bertitah tidak memanjangkan kontroversi berkenaan.
Sejak boikot bermula, tiga cawangan KK Mart – di Bidor, Perak; Sungai Isap, Kuantan, Pahang; dan Kuching, Jalan Satok, Sarawak – telah diserang bom petrol.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menolak kononnya perkembangan melibatkan Akmal menjejaskan kerajaan perpaduan.
Loke berkata, polis hanya menjalankan tanggungjawabnya sambil menyuarakan ia tidak bermakna mana-mana pihak dalam kerajaan termasuk parti tidak boleh disiasat.
Katanya, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang juga dipanggil untuk siasatan oleh polis sebelum ini dan DAP tidak pernah mempersoalkannya.