Tunggu saksi penting tandatangan afidavit sokong permohonan Najib, mohon Shafee

Tunggu saksi penting tandatangan afidavit sokong permohonan Najib, mohon Shafee

Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi, saksi itu kini berada di Mekah, sepanjang 10 hari terakhir Ramadan.

Shafee Abdullah memohon penangguhan sehingga 17 April, setelah afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman Najib Razak berhubung dekri tambahan tahanan di rumah itu ditandatangani oleh saksi.
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi penting dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan kebenaran Najib Razak untuk memulakan semakan kehakiman berhubung satu dekri tambahan yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu supaya bekas perdana menteri itu menjalani baki enam tahun penjara dalam tahanan di rumah.

Semasa perbicaraan permohonan itu di Mahkamah Tinggi, Shafee Abdullah selaku peguam mewakili Najib memaklumkan Hakim Amarjeet Singh bahawa saksi berkenaan kini berada di Mekah untuk 10 hari terakhir Ramadan.

“Saya memohon penangguhan yang singkat kerana malangnya orang yang paling kritikal (saksi) kepada permohonan itu tidak menandatangani afidavit berkenaan kerana telah berlepas ke Mekah dan dijangka kembali selepas Aidilfitri.

“Afidavit ini adalah kritikal, walaupun pada peringkat ini. Saya hanya memerlukan masa yang singkat, mungkin sehingga satu tarikh yang telah saya rundingkan dengan rakan saya ‘sebelah sana’, iaitu pada 17 April,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili responden tidak membantah perkara itu.

Amarjeet kemudian membenarkan penangguhan sehingga 17 April dan mengarahkan supaya hujahan bertulis difailkan pada 15 April.

Sementara itu, hakim menolak permohonan peguam Abhilaash Subramaniam yang mewakili Majlis Peguam untuk mengikuti prosiding itu sebagai pemerhati, dengan alasan kebenaran belum lagi diberikan, dan pada peringkat ini, ia masih permohonan ex-parte.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Shafee bagaimanapun enggan mendedahkan identiti saksi penting itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menerusi Tetuan Shafee & Co.

Najib menamakan menteri dalam negeri; komisioner jeneral penjara; peguam negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya; menteri undang-undang; ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu Najib memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024 itu.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa sekiranya dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan di rumah.

Najib, 70, kini menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.